Wednesday, December 8, 2010

TUDM Perlukan Pesawat Baru

Merujuk kepada laporan berkenaan Tun Dr. Mahathir yang mempertikaikan pembelian pesawat baru untuk cabang udara ATM, maka saya mengambil kesempatan untuk menyatakan pendapat saya mengenai pembangunan TUDM khususnya, dan kemampuan udara ATM amnya.

Inventori pesawat tempur, pesawat pengangkut, helikopter dan pesawat lain dalam ATM pada pendapat saya tidak menampakkan keyakinan kepada rakyat betapa ATM mampu dan berupaya berfungsi dengan efisyen semasa konflik.

Barisan pesawat pejuang walaupun yang terhebat di rantau ini, masih terlalu kecil bilangannya. Pesawat pengangkut yang masih masih lagi mengharapkan kuda tua Hercules dan barisan kecil CN-235, helikopter yang selang beberapa tahun akan menjadi topik perbincangan kerana kemalangan, dan terkini pesawat Cessna yang telah dikeluarkan daripada perkhidmatan.

Jika tidak dinaik taraf, pesawat Mig 29 yang menjadi tulang belakang operasi pemintasan perlulah diganti dengan sekumpulan pesawat lain, mungkin daripada kalangan pesawat kombat pelbagai guna (MRCA) dengan bilangan yang lebih besar.

Tun Dr. Mahathir mungkin tidak lagi mempunyai akses untuk mengetahui sama ada negara menghadapi ancaman atau tidak, tetapi pembangunan dan keperluan terhadap pembelian berterusan peralatan ketenteraan adalah perlu. Selain pemindahan teknologi, kajian dan pembangunan oleh anak tempatan perlulah giat dijalankan.

Mengapa?

Pembinaan sebuah angkatan tentera yang utuh tidak boleh berlaku dalam masa yang singkat, dan pembinaan kepakaran anggota tidak boleh terjadi dalam sekelip mata. Sebagai contoh, juruterbang pakar perlu dilahirkan dengan banyak, sehingga melebihi keperluan.

Selain itu, peralatan pertahanan adalah first class technology dan pembangunannya akan memberi sumbangan besar bukan sahaja kepada bidang pertahanan, tetapi juga sains dan teknologi.

Berkenaan keupayaan udara ATM, pembangunan PUTD dan KD Rajawali tidak boleh bertatih lagi, tetapi perlu berlari manakala TUDM perlu berlari lebih pantas sebagai peneraju utama kuasa udara ATM.

Seperkara lagi, saya tertarik dengan keprihatinan Tun Dr. Mahathir yang gusar tentang kewujudan orang tengah dalam proses pembelian peralatan pertahanan. Oleh itu, prosedur pembelian perlulah diperhalusi supaya tiada lagi rumah yang siap, tapi pahat terus berbunyi. Budayakan integriti!

No comments:

Post a Comment