Thursday, December 30, 2010

Naga Pelangi II


  1. Harga: RM 2 juta
  2. Pemilik: Christoph Swoboda, 57 tahun, warga Jerman
  3. Pembina: Hasni Che Ali
  4. Bot ini ditempah oleh pemilik yang telah mempunyai sebuah bot yang sama bernama Naga Pelangi, dibuat oleh pembina yang sama 30 tahun lepas. Pemilik amat kagum dengan kemahiran luarbiasa dan kehalusan perincian oleh pembina.
  5. Naga Pelangi yang pertama dibina dengan kos RM 30,000 dan telah belayar mengelilingi dunia.
  6. Tempat bina: Pulau Duyung, Kuala Terengganu. Terengganu. Malaysia
  7. Mula dibina: 2004
  8. Siap: 2010
  9. Panjang: 95 kaki
  10. Lebar: 19 kaki
  11. Bahan Utama: Kayu Cengal
  12. Proses melengkungkan kayu untuk pembinaan badan kapal (Hull) dilakukan secara tradisional tanpa mesin. Proses ini sahaja mengambil tempoh selama 2 tahun
  13. Tidak menggunakan paku, sebalinya menggunakan kaedah tradisional seperti kunci tanggam
  14. Pembinaan bot ini juga bermula daripada badan luar (hull), kemudian barulah kerangkanya dibina tidak seperti pembinaan bot konvensional yang lain yang akan membina kerangka terlebih dahulu.
  15. Boleh menampung sehingga 30 penumpang dan mempunyai 4 kabin penumpang
  16. Pada tahun-tahun 50-an dan 60-an, perahu seumpama ini memainkan peranan penting dalam perdagangan antara Terengganu, Thailand dan Indochina.
Berita mengenai perahu ini dalam Laman Web Bernama.
Lagi berita dalam mStar Online

Blog berkaitan

Perhatian untuk Pelanggan Jabatan Laut Malaysia

Bagi pelanggan yang ingin mendapatkan maklumbalas daripada pegawai-pegawai Jabatan Laut Malaysia, khususnya di Ibu Pejabat Laut Pelabuhan Klang, Hari Bertemu Pelanggan dijadualkan pada setiap hari Jumaat minggu ketiga setiap bulan daripada jam 9 pagi hingga 12 tengahari.

Alamat dan peta lokasi seperti berikut;

Jabatan Laut Malaysia,
Ibu Pejabat Laut,
Peti Surat 12,
Jalan Limbungan,
42007 Pelabuhan Klang.
Selangor



Maklumat lanjut boleh layari Laman Web Rasmi Jabatan Laut Malaysia

Tuesday, December 28, 2010

Ibrahim Ali Perkasa kata...

Ibrahim Ali suruh Nik Aziz letak jawatan kerana selalu sakit? Ibrahim Ali pun sama-samalah letak jawatan Perkasa yang banyak stress, silap-silap masuk IJN lagi.

Eh silap.

Ibrahim Ali kan semangat lebih, hanya dia saja yang boleh berjuang samapai sakit dan akhir. Orang lain bila dah mengah perlulah letak jawatan.

Betul tak?

Sesiapa yang sakit-sakit, silalah berhenti kerja. Takut-takut akan merendahkan mutu kerja.

Marilah sama-sama doakan agar semua pemimpin sihat, cepat sembuh untuk tadbir negara. Barulah demokrasi!

Perhatian untuk pelanggan Jabatan Laut Sabah

Hari bertemu pelanggan Jabatan Laut Sabah dan pejabat-pejabat cawangan Jabatan Laut Sabah (Kota Kinabalu, Kudat, Sandakan, Lahad Datu & Tawau) akan diadakan pada setiap Jumaat terakhir setiap bulan daripada jam 9.00 pagi hingga 11 pagi.

Alamat-alamat pejabat Jabatan Laut Sabah adalah seperti berikut:

Jabatan Laut Sabah
No. 2, Kompleks Jabatan Laut,
Teluk Salut, Jalan Sepanggar,
Beg Berkunci 2011,
88450 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel : (6)088-401 100
Fax : (6)088-401 184

Pejabat Laut Kota Kinabalu
No.2, Kompleks Jabatan Laut,
Teluk Salut, Jalan Sepanggar,
Beg Berkunci 2011,
88450 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel: (6)088-401102 Fax: (6)088-401182

Pejabat Laut Sandakan
P. O. Box 1966,
90722 Sandakan.
Tel: (6)089-213127 Fax: (6)089-215197

Pejabat Laut Tawau
6th. Floor, Wisma Persekutuan,
91000 Tawau.
Tel: (6)089-779130 Fax: (6)089-751328

Pejabat Laut Lahad Datu
P. O. Box 61606,
91124 Lahad Datu.
Tel : (6)089-884495 Fax : (6)089-886495

Pejabat Laut Kudat
P. O. Box 598,
89058 Kudat.
Tel: (6)088-613260
Fax: (6)088-614609


Untuk makluman komuniti perkapalan Malaysia.

Friday, December 24, 2010

National Maritime Conference 2011



STCW, Standard of Training, Certification & Watchkeeping merupakan Kod dan Konvensyen berkaitan pelaut yang merupakan nadi dalam industri perkapalan. STCW dimulakan pada tahun 1978 (STCW 78) dan pindaan terakhir sebelum ini adalah pada tahun 1995 (STCW 95). Pindaan terbaru telah diputuskan semasa satu konvesyen di Manila dan akan mula diamalkan dalam masa terdekat. Oleh itu, untuk mengetahui sejauh mana kesan perlaksanaan pindaan baru ini terhadap pelaut dan industri perkapalan, maka satu Persidangan Maritim Kebangsaan akan dianjurkan pada awal 2011.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi Jabatan Laut Malaysia

Juga boleh diperolehi daripada laman web Institut Kelautan Malaysia (IKMAL)

Pendaftaran boleh dibuat di Pelorus Intelligence & Technology Academy

Saturday, December 18, 2010

Jus Ketam



Nak cuba?

Taklimat MASA di Miri


MASA ialah Persatuan Pemilik Kapal Malaysia / Malaysia Shipowner Association. Taklimat diadakan bagi memberi penerangan kepada ahli MASA berkenaan beberapa konvensyen antarabangsa yang akan mula dikuatkuasakan oleh Jabatan Laut Malaysia.

Antara konvensyen baru yang akan dikuatkuasakan ialah

  1. Annex III of MARPOL 73/78

    Regulations for the Prevention of Pollution by Harmful Substances Carried by Sea in Packaged Form

  2. Annex IV of MARPOL 73/78

    Regulations for the Prevention of Pollution by Sewage from Ships

  3. Annex VI - Regulations for the Prevention of Air Pollution from Ships

  4. BWM - International Convention for the Control and Management of Ships’ Ballast Water and Sediments, 2004

  5. AFS - International Convention on the Control of Harmful Anti-Fouling Systems on Ships, 2001

  6. International Labour Conference – Maritime Labour Convention, 2006



Taklimat disampaikan oleh pegawai-pegawai daripada Jabatan Laut Malaysia, Kapt Abdul Samad bin Shekh Osman dan En.Egbert Adolf Naintin. Sambutan yang diterima daripada ahli-ahli MASA amat menggalakkan sehinggakan melebihi daripada jangkaan sebenar.

Taklimat yang sama juga telah diadakan di Kota Kinabalu dan akan diteruskan lagi di Kuala Lumpur minggu hadapan.

Friday, December 17, 2010

Ballast Cycle



Ballast water: Air yang digunakan sebagai bahan pengimbang bagi meningkatkan kestabilan, mengubah draf, dan mengubah trim sesebuah kapal.

Ballast Passage: Laluan pelayaran kapal dagang semasa membawa balast sahaja.

Thursday, December 16, 2010

Amaran Keras!

Diambil di sebuah restoran di Miri, Sarawak.

Kemalangan Ngeri

Melibatkan 2 buah kenderaan. Sebuah kenderaan tercampak kira-kira 10 meter daripada bahu jalan. Semoga pemandu dan penumpang kenderaan selamat. Berikut beberapa keping gambar yang diambil daripada helikopter.

Scroll ke bawah untuk melihat gambar.













Wednesday, December 15, 2010

Terusan Panama Ditutup?


  1. Terusan Panama seakan-akan menjadi satu kewajipan bagi semua pelaut pelayaran antarabangsa untuk melaluinya. Saya sendiri tidak pernah!
  2. dalam masa terdekat, terusan ini mungkin ditutup sementara (dalam masa yang agak panjang) buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.
  3. Kesan utama penutupannya pastilah peningkatan kadar caj perkapalan, dan kenaikan harga komoditi terutamanya arang batu.Kali terakhir terusan ini ditutup adalah pada 1989 apabila Amerika Syarikat menceroboh Panama untuk menyingkirkan presidennya ketika itu, Presiden Manuel Noriega.
  4. Kejatuhan caj perkapalan bagi kapal saiz Panamax sehingga 20% beberapa bulan lalu mungkin meningkat semula ekoran situasi ini.
  5. Panjang Terusan Panama adalah 77 km
  6. Menghubungkan lautan Pasifik dan Atlantik
  7. Dibina daripada tahun 1904 hingga 1914
  8. Setiap tahun, hampir 15000 kapal melalui terusan ini
  9. Ketika ini, projek pembinaan kunci air ketiga sedang giat dijalankan dan dijangka siap pada 2014.

Renungan

Di dalam memperjuangkan diri untuk menjadi hamba Allah, adakalanya kita sering tergelincir kepada menjadi hamba nafsu.

Di dalam proses keimanan, sesungguhnya tiada jalan singkat untuk mendapatkannya melainkan dengan jalan yang penuh mujahadah.

Wadah diri dalam beragama itu adalah melalui mujahadah ilmu kerana ia menguatkan iman dan taqwa kepada Allah.

Mujahadah ilmu itu datang dari mengamalkannya. Tanpa mengamalkannya ilmu dalam kehiduoan sia-sialah ia.

Panduan Mendaftar Sebagai Pengamal Perubatan Yang Diiktiraf Oleh Jabatan Laut Malaysia

( Pengamal perubatan yang diiktiraf layak untuk membuat pemeriksaan dan mengeluarkan laporan perubatan bagi pelaut Malaysia yang ingin bertugas di kapal)

1. Layari Laman Web Rasmi Jabatan Laut Malaysia www.marine.gov.my




2. Klik pada PERKHIDMATAN ONLINE > Perkhidmatan Pelaut (Perakuan / Perjanjian Anak Kapal / Pengesahan)




3. Anda akan dialihkan ke paparan Seafarer Documentation System




4. Kemudian, klik pada APPLICATION AND STATUS INQUIRY




5. Sila pilih Pejabat Pelabuhan terdekat dan klik ENTER




6. Paparan berikutnya sila klik pada Medical Practitioner




7. Pilih New Medical Practitioner Registration dan klik NEXT




8. Isikan semua ruangan yang diperlukanm




9. Muat naik dokumen sokongan yang diperlukan. Akhir sekali, tekan butang SUBMIT APPLICATION




10. Kemudian, satu paparan yang mempunyai nombor rujukan akan muncul. Cetak paparan tersebut dan pergi ke Pejabat Pelabuhan yang dipilih pada awal proses untuk membuat pembayaran dan verifikasi dokumen sokongan.


11. Setelah pembayaran dibuat, proses seterusnya akan dijalankan oleh pihak Jabatan Laut Malaysia termasuklah menghadiri Shipping Familiarisati0n Course.


12. Sekian

Saturday, December 11, 2010

Say Hello

Hello in different language

Czech - Ahoj
Spanish - Hola
Portuguese - Ola

Wednesday, December 8, 2010

TUDM Perlukan Pesawat Baru

Merujuk kepada laporan berkenaan Tun Dr. Mahathir yang mempertikaikan pembelian pesawat baru untuk cabang udara ATM, maka saya mengambil kesempatan untuk menyatakan pendapat saya mengenai pembangunan TUDM khususnya, dan kemampuan udara ATM amnya.

Inventori pesawat tempur, pesawat pengangkut, helikopter dan pesawat lain dalam ATM pada pendapat saya tidak menampakkan keyakinan kepada rakyat betapa ATM mampu dan berupaya berfungsi dengan efisyen semasa konflik.

Barisan pesawat pejuang walaupun yang terhebat di rantau ini, masih terlalu kecil bilangannya. Pesawat pengangkut yang masih masih lagi mengharapkan kuda tua Hercules dan barisan kecil CN-235, helikopter yang selang beberapa tahun akan menjadi topik perbincangan kerana kemalangan, dan terkini pesawat Cessna yang telah dikeluarkan daripada perkhidmatan.

Jika tidak dinaik taraf, pesawat Mig 29 yang menjadi tulang belakang operasi pemintasan perlulah diganti dengan sekumpulan pesawat lain, mungkin daripada kalangan pesawat kombat pelbagai guna (MRCA) dengan bilangan yang lebih besar.

Tun Dr. Mahathir mungkin tidak lagi mempunyai akses untuk mengetahui sama ada negara menghadapi ancaman atau tidak, tetapi pembangunan dan keperluan terhadap pembelian berterusan peralatan ketenteraan adalah perlu. Selain pemindahan teknologi, kajian dan pembangunan oleh anak tempatan perlulah giat dijalankan.

Mengapa?

Pembinaan sebuah angkatan tentera yang utuh tidak boleh berlaku dalam masa yang singkat, dan pembinaan kepakaran anggota tidak boleh terjadi dalam sekelip mata. Sebagai contoh, juruterbang pakar perlu dilahirkan dengan banyak, sehingga melebihi keperluan.

Selain itu, peralatan pertahanan adalah first class technology dan pembangunannya akan memberi sumbangan besar bukan sahaja kepada bidang pertahanan, tetapi juga sains dan teknologi.

Berkenaan keupayaan udara ATM, pembangunan PUTD dan KD Rajawali tidak boleh bertatih lagi, tetapi perlu berlari manakala TUDM perlu berlari lebih pantas sebagai peneraju utama kuasa udara ATM.

Seperkara lagi, saya tertarik dengan keprihatinan Tun Dr. Mahathir yang gusar tentang kewujudan orang tengah dalam proses pembelian peralatan pertahanan. Oleh itu, prosedur pembelian perlulah diperhalusi supaya tiada lagi rumah yang siap, tapi pahat terus berbunyi. Budayakan integriti!

Perpaduan Nasional Melalui Keseragaman Pendidikan Kebangsaan

Karangan ini dipindahkan daripada blog asal ahmedbadri.wordpress.com

Ogos ini, kita akan meraikan jubli emas kemerdekaan negara. Tempoh setengah abad yang dilalui dengan perkongsian pelbagai kisah suka duka dalam melayari kehidupan dalam sebuah negara yang berdaulat. Namun demikian, satu isu penting mungkin telah terlepas pandang, ataupun sengaja dilupakan kerana keperluan seseorang pemimpin dan organisasinya bagi menjaga sensitiviti pelbagai pihak.

Pastinya isu ini akan menjadi sensitif dan bakal menimbulkan perdebatan umum serta dijadikan modal politik, tapi perkara ini walaubagaimana sekalipun harus diketengahkan jua jika ingin mencari formula ke arah kemantapan perpaduan nasional.

Sejak merdeka, dan apabila isu perkauman kadang-kadang menjadi masalah utama negara, setiap agenda nasional yang dianjurkan kerajaan pastinya meletakkan perpaduan dan integrasi nasional sebagai satu agenda utama. Setiap peluang digunakan dalam pelbagai bidang, pendidikan, sukan, kebudayaan dan sejak 2004, program latihan khidmat negara dijadikan sandaran kerajaan untuk menyemarakkan perpaduan nasional.

Bukanlah ingin mengenepikan samada keberkesanan, pencapaian mahupun untuk menuding jari kepada mana-mana pihak terhadap kegagalan mencapai objektif perpaduan dalam program-program yang dijalankan, tetapi semuanya secara realiti adalah kegagalan semata-mata ataupun pencapainnya terlalu sedikit. Memang benar sikit-sikit lama-lama jadi bukit, tetapi tempoh 50 tahun sudah terlalu lama. Kita sepatutnya sudah sampai, atau setidak-tidaknya menghampiri puncak perpaduan.

Tidak dinafikan program-program sukan, kebudayaan dan pelbagai lagi sedikit sebanyak mampu menyatukan pelbagai kaum yang menyertainya. Namun demikian, sesuatu program yang hanya berjalan pada tempoh masa tertentu tidaklah memberi kesan yang betul-betul kita inginkan. Malah, jika terdapat kepincangan ataupun masalah antara kaum yang mungkin berlaku dalam sesuatu program, kesannya pastinya lebih buruk lagi.

Oleh yang demikian, kita tidak perlulah untuk menjerit-jerit dan berbalah sesama sendiri untuk menyuarakan pendapat dan sebagainya dalam kehangatan isu pertikaian tentang bangsa Malaysia, sedangkan kita seringkali terlupa bahawa kita sendiri kerapkali bersuara lantang memperjuangkan isu kaum-kaum tertentu. (Kata ganti diri ‘kita’ mewakili golongan yang mewakili sesuatu kaum dalam memperjuangkan pelbagai isu).

Mungkin tulisan ini nampak menyebelahi kaum Melayu, tetapi sebagai kaum asal negara ini yang pernah dikenali sebagai Tanah Melayu sebelum dijajah dan kedatangan kaum-kaum lain dalam skala besar, maka keutamaan kepada kaum Melayu tidak patut dipertikaian berdasarkan semangat toleransi dalam perlembagaan. Malah, tulisan ini hanyalah untuk mencari satu formula ke arah kemantapan perpaduan nasional, sesuatu yang telah dipersetujui dan diterima orang Melayu apabila menyetujui prinsip Jus Soli dalam pembentukan perlembagaan negara lama dahulu, dan seharusnya sama-sama diterima oleh lain-lain kaum lain di Malaysia.

Menjengah kepada pokok persoalan, sistem pendidikan negara, yang mana sistem yang ingin dibincangkan ini tertumpu kepada sistem persekolahan iaitu sekolah rendah dan menengah. Sejak tahun-tahun selepas kemerdekaan dicapai, mahupun setelah pembentukan gagasan Malaysia, pemisahan Singapura dan juga pasca peristiwa Mei 1969, setiap kaum pastinya terus memberi tumpuan kepada persekolahan dan pendidikan generasi muda mereka kerana kepentingan ilmu yang bakal memastikan ketahanan ataupun survival kaum mereka akan terus kekal di bumi Malaysia ini.

Hasilnya, sistem persekolahan di Malaysia seawal sekolah rendah telah terbahagi kepada kaum-kaum utama, yang mana sejak awal lagi rakyat Malaysia telah dipecahkan dan diwujudkan satu jurang maya antara mereka. Walaupun wujud perhubungan antara sekolah-sekolah tersebut, namun jurang yang telah awal-awal lagi diwujudkan tidak akan dapat dirapatkan kerana mereka telah dipisahkan oleh sistem persekolahan berdasarkan kaum. Tiada siapa yang dapat menafikan, bahawa sistem inilah yang telah menyebabkan berlakunya kepincangan perpaduan di negara kita.

Sekolah-sekolah berasaskan kaum diwujudkan sebagai jaminan kepada kaum pendatang bahawa kepentingan mereka akan dijaga, bahasa dan budaya ibunda mereka akan terus kekal, dan mereka bukanlah dibentuk atau dipaksa untuk menjadi Melayu. Kaum Cina dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), India dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), namun tidak wujud pula Sekolah Jenis Kebangsaan Melayu! Hanya yang ada ialah sekolah kebangsaan yang pada dasarnya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama dalam setiap perkara sejak dari bangku sekolah lagi.

Oleh itu, kita perlu membayar harga yang mahal bagi menyemarakkan perpaduan nasional dalam pelbagai aktiviti dan program yang dijalankan. Malah, kita juga tidak lari dari pertelingkahan antara kaum yang kadangkala terjadi, sesuatu yang tidak boleh dipastikan seratus peratus dalam sebuah negara berbilang kaum. Sebaliknya, dengan menyemarakkan perpaduan sejak peringkat awal lagi merupakan satu kelebihan yang harus direbut, kerana kebudayaan, bahasa ibunda dan jatidiri sesuatu kaum tidak akan terhapus hanya kerana mereka telah bercampur dengan pelbagai kaum sejak kecil lagi.

Kerajaan yang mungkin telah menyedari isu ini telah pun cuba untuk melakukan pengubahsuaian terhadap sistem persekolahan yang menyatukan pelbagai kaum. Namun demikian, konsep sekolah wawasan yang menyaksikan perkongsian beberapa premis dalam satu bumbung bukanlah satu langkah bijak! Jika konsep ini berkesan sekalipun, mengapakah tidak ternampak sebarang kemajuan dalam bilangan sekolah yang disatukan ataupun kemajuan program ini terlalu perlahan ataupun telah digugurkan?. Seperkara lagi, jika konsep ini benar-benar ingin dipraktikkan, bagaimana pula dengan premis-premis sekolah yang telah sekian lama wujud, yang berselerak di seluruh pelusuk negara.

Mungkin bagi orang-orang Melayu, isu penyeragaman sistem persekolahan ini mungkin menjadi satu ancaman kepada survivality kaum Melayu yang bergelut dengan meritokrasi dan penguasaan ekonomi oleh kaum lain misalnya, tetapi satu kajian khusus perlulah dijalankan bagi memastikan kepentingan kaum Melayu tidak terjejas, dan kaum-kaum lain pula dapat menyertai bersama-sama ke arah pemantapan perpaduan nasional.

Ahli-ahli politik kaum-kaum bukan Melayu perlulah berhenti daripada terlalu lantang memperjuangkan sistem persekolahan bangsa mereka yang telah sekian lama dipraktikkan, yang sering dijadikan bahan berkempen seterusnya menagih pembiayaan kerajaan terhadap sekolah-sekolah kaum mereka. Sebaliknya tugas baru mereka adalah memastikan ahli-ahli masyarakat dapat menerima sekolah kebangsaan dengan pemansuhan sekolah jenis kebangsaan. Sepatutnya tiada lagi kedengaran alasan-alasan kebudayaan, bahasa ibunda dan sebagainya, kerana sekolah-sekolah kebangsaan sekalipun boleh menawarkan bahasa-bahasa ibunda mereka, manakala kebudayaan dan tradisi bangsa dapat diserapkan melalui aktiviti kokurikulum.

Bagi bangsa Melayu pula, penerimaan terhadap kewujudan kaum-kaum lain dalam satu sistem haruslah diterima dengan hati terbuka. Soal persaingan bukanlah masalah, kerana dewasa ini banyak kejayaan dan pencapaian telah membuktikan bahawa bangsa Melayu lemah dan malas adalah mitos semata-mata. Secara praktikal, sistem ini nampaknya memberi kelebihan kepada kaum-kaum bukan Melayu kerana memberikan mereka peluang bersaing dengan kaum Melayu sejak peringkat awal lagi. Namun bagi kaum Melayu pula, peluang bersaing ini sepatutnya akan meningkatkan keupayaan bangsa untuk terus berjaya dan memacu ekonomi dan sosial tanahair.

Walau sepanjang manapun perbincangan ini, pokok dan akar persoalannya akan kembali kepada bangsa Melayu juga. Seperti yang telah dinyatakan, isu meritokrasi masih lagi menjadi topik bagi sesetengah pihak yang ingin mengembalikan semula sistem kouta atas agenda memastikan jurang ekonomi dan sosial bandar dan luar bandar dapat terus diperbaiki dan isu ini semestinya isu bangsa Melayu! Kaum Melayu yang masih lagi mengejar penguasaaan dalam bidang ekonomi juga perlu mengelakkan persaingan dengan kaum lain kerana persaingan pastinya mewujudkan risiko. Mungkin penyeragaman sistem persekolahan akan mewujudkan persaingan pada peringkat awal, dan jika Kaum Melayu belum benar-benar bersedia, mereka pasti akan tewas sejak awal lagi.

Dengan banyak lagi agenda lain yang perlu diberi perhatian oleh pemimpin-pemimpin kaum Melayu bagi memastikan bangsanya tidak ketinggalan dalam arus perdana pembangunan negara, pemimpin pemimpin kaum lain tidak sepatutnya mengambil kesempatan sebaliknya harus menyedari bahawa kewujudan mereka di dumi Malaysia secara selesa ini adalah atas semangat toleransi orang-orang Melayu terdahulu. Namun tiada siapa yang boleh memastikan, samada Melayu atau bukan Melayu bahawa kita semua sama-sama ikhlas di atas satu landasan ke arah pemantapan perpaduan nasional.

Kepada orang-orang Melayu, inilah harga yang perlu dibayar atas ‘ketoleransian’ nenek moyang kita terdahulu yang menerima kemerdekaan dengan pelbagai syarat penjajah. Bukanlah masanya untuk kita menyalahkan mereka biarpun jika benar mereka telah melakukan kesilapan, tetapi masa telah berlalu dan inilah tugas kita untuk memperbetulkan keadaan. Mungkin nenek moyang kita sudah terlau lama terjajah, dan mereka benar-benar ingin menghadiahkan kemerdekaan kepada generasi kita, dengan dihadiahkan sekali pelbagai tugas berat yang perlu diteliti sebaik mungkin.

Namun, saya percaya kaum Melayu, apabila diberi sedikit tekanan dan tidak sama sekali meletakkan mereka dalam zon selesa, akan mampu bersaing dan membuktikan keunggulan bangsa Melayu. Sama-samalah kita meneliti perkara ini, jangan sampai generasi masa depan akan mempersalahkan kita kelak. Bukanlah tidak berterima kasih atau mengenang jasa-jasa pejuang kemerdekaan dan pemimpin-pemimpin bangsa yang mengabdikan diri mereka terhadap perjuangan bangsa, tetapi bak kata pepatah orang-orang Melayu, Diluah Mati Emak, Ditelan Mati Bapak.

Kita tidak boleh lagi membiarkan masa yang membuat keputusan mengenai nasib perpaduan nasional. Sebaliknya, keberanian dalam kematangan usia kebebasan 50 tahun ini perlulah dijadikan sandaran untuk pengubahan paradigma dan menjanjikan masa depan negara yang lebih manis dengan perpaduan nasional yang benar-benar utuh. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-50. Negaraku Gemilang. Dirgahayu Malaysia.

Singapore Anchorage, MT Bunga Kelana 4, 5.15 pagi, 26-11-2006.

Saya tidak menyatakan sokongan kepada mana-mana konsep termasuklah Bangsa Malaysia, sekadar pendapat untuk pengukuhan perpaduan antara kaum yang telah saya hayati sejak bangku sekolah lagi. Penghargaan kepada rakan-rakan rapat saya semasa sekolah kebangsaan dahulu, 1993-1998. Wee Ern Soon, Maheshwaran A/L Logeshwaran dan Abdul Hafiz bin Sheikh Abdullah. Ketoleransian, persahabatan, dan perpaduan antara kaum seawal usia 7 tahun, sehingga ke hari ini. Persekolahan menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar memberi saya tempoh masa berfikir tentang bangsa dan nusa.

Sunday, December 5, 2010

Meramaikan bukan bumiputera dalam angkatan tentera

Assalamualaikum w.b.t.

Buletin Utama TV3 hari ini menyiarkan berita pengambilan anggota baru Lain-lain Pangkat ATM. Juga disebut dalam berita berkenaan kekurangan penglibatan rakyat bukan bumiputera utuk menyertai angkatan tentera.

Tidak perlu disenaraikan lagi mengapa perkara ini terjadi kerana sudahpun diketahui apakah masalahnya. Oleh itu, saya ingin mencadangkan satu langkah masa panjang untuk diperhatikan bersama.

  1. Program Latihan Khidmat Negara dijalankan sepenuhnya oleh tentera dan melahirkan anggota yang boleh terus berkhidmat sebagai anggota LLP dalam ATM.
  2. Kontrak bekerja sebagai anggota tentera dipelbagaikan, dan boleh meninggalkan perkhidmatan pada bila-bila masa mengikut prosedur yang ditetapkan.
  3. Dengan cara ini, rakyat pelbagai kaum akan lebih terbuka untuk memasuki perkhidmatan tentera.

Anti Nasional

Memburukkan negara adalah tindakan yang langsung tak boleh diterima.

Namun, jangan disamakan dengan memburukkan kerajaan yang buruk, sama ada dalam atau luarnya.

Menyokong negara kerana sifat patriotik amat mulia. Lagi mulia jika mempertahankan negara daripada dipimpin kerajaan buruk yang merompak negara.

Negara wujud daripada rakyat. Hak rakyat jangan dibiarkan dirompak oleh kerajaan yang buruk.

Jangan bermain kata-kata dengan mempermainkan nama negara. Negara adalah rakyat. Rakyat adalah negara.

Negara adalah milik rakyat. Bukan milik kerajaan buruk.

Gunung Merapi 1