Wednesday, December 8, 2010

Perpaduan Nasional Melalui Keseragaman Pendidikan Kebangsaan

Karangan ini dipindahkan daripada blog asal ahmedbadri.wordpress.com

Ogos ini, kita akan meraikan jubli emas kemerdekaan negara. Tempoh setengah abad yang dilalui dengan perkongsian pelbagai kisah suka duka dalam melayari kehidupan dalam sebuah negara yang berdaulat. Namun demikian, satu isu penting mungkin telah terlepas pandang, ataupun sengaja dilupakan kerana keperluan seseorang pemimpin dan organisasinya bagi menjaga sensitiviti pelbagai pihak.

Pastinya isu ini akan menjadi sensitif dan bakal menimbulkan perdebatan umum serta dijadikan modal politik, tapi perkara ini walaubagaimana sekalipun harus diketengahkan jua jika ingin mencari formula ke arah kemantapan perpaduan nasional.

Sejak merdeka, dan apabila isu perkauman kadang-kadang menjadi masalah utama negara, setiap agenda nasional yang dianjurkan kerajaan pastinya meletakkan perpaduan dan integrasi nasional sebagai satu agenda utama. Setiap peluang digunakan dalam pelbagai bidang, pendidikan, sukan, kebudayaan dan sejak 2004, program latihan khidmat negara dijadikan sandaran kerajaan untuk menyemarakkan perpaduan nasional.

Bukanlah ingin mengenepikan samada keberkesanan, pencapaian mahupun untuk menuding jari kepada mana-mana pihak terhadap kegagalan mencapai objektif perpaduan dalam program-program yang dijalankan, tetapi semuanya secara realiti adalah kegagalan semata-mata ataupun pencapainnya terlalu sedikit. Memang benar sikit-sikit lama-lama jadi bukit, tetapi tempoh 50 tahun sudah terlalu lama. Kita sepatutnya sudah sampai, atau setidak-tidaknya menghampiri puncak perpaduan.

Tidak dinafikan program-program sukan, kebudayaan dan pelbagai lagi sedikit sebanyak mampu menyatukan pelbagai kaum yang menyertainya. Namun demikian, sesuatu program yang hanya berjalan pada tempoh masa tertentu tidaklah memberi kesan yang betul-betul kita inginkan. Malah, jika terdapat kepincangan ataupun masalah antara kaum yang mungkin berlaku dalam sesuatu program, kesannya pastinya lebih buruk lagi.

Oleh yang demikian, kita tidak perlulah untuk menjerit-jerit dan berbalah sesama sendiri untuk menyuarakan pendapat dan sebagainya dalam kehangatan isu pertikaian tentang bangsa Malaysia, sedangkan kita seringkali terlupa bahawa kita sendiri kerapkali bersuara lantang memperjuangkan isu kaum-kaum tertentu. (Kata ganti diri ‘kita’ mewakili golongan yang mewakili sesuatu kaum dalam memperjuangkan pelbagai isu).

Mungkin tulisan ini nampak menyebelahi kaum Melayu, tetapi sebagai kaum asal negara ini yang pernah dikenali sebagai Tanah Melayu sebelum dijajah dan kedatangan kaum-kaum lain dalam skala besar, maka keutamaan kepada kaum Melayu tidak patut dipertikaian berdasarkan semangat toleransi dalam perlembagaan. Malah, tulisan ini hanyalah untuk mencari satu formula ke arah kemantapan perpaduan nasional, sesuatu yang telah dipersetujui dan diterima orang Melayu apabila menyetujui prinsip Jus Soli dalam pembentukan perlembagaan negara lama dahulu, dan seharusnya sama-sama diterima oleh lain-lain kaum lain di Malaysia.

Menjengah kepada pokok persoalan, sistem pendidikan negara, yang mana sistem yang ingin dibincangkan ini tertumpu kepada sistem persekolahan iaitu sekolah rendah dan menengah. Sejak tahun-tahun selepas kemerdekaan dicapai, mahupun setelah pembentukan gagasan Malaysia, pemisahan Singapura dan juga pasca peristiwa Mei 1969, setiap kaum pastinya terus memberi tumpuan kepada persekolahan dan pendidikan generasi muda mereka kerana kepentingan ilmu yang bakal memastikan ketahanan ataupun survival kaum mereka akan terus kekal di bumi Malaysia ini.

Hasilnya, sistem persekolahan di Malaysia seawal sekolah rendah telah terbahagi kepada kaum-kaum utama, yang mana sejak awal lagi rakyat Malaysia telah dipecahkan dan diwujudkan satu jurang maya antara mereka. Walaupun wujud perhubungan antara sekolah-sekolah tersebut, namun jurang yang telah awal-awal lagi diwujudkan tidak akan dapat dirapatkan kerana mereka telah dipisahkan oleh sistem persekolahan berdasarkan kaum. Tiada siapa yang dapat menafikan, bahawa sistem inilah yang telah menyebabkan berlakunya kepincangan perpaduan di negara kita.

Sekolah-sekolah berasaskan kaum diwujudkan sebagai jaminan kepada kaum pendatang bahawa kepentingan mereka akan dijaga, bahasa dan budaya ibunda mereka akan terus kekal, dan mereka bukanlah dibentuk atau dipaksa untuk menjadi Melayu. Kaum Cina dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), India dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), namun tidak wujud pula Sekolah Jenis Kebangsaan Melayu! Hanya yang ada ialah sekolah kebangsaan yang pada dasarnya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama dalam setiap perkara sejak dari bangku sekolah lagi.

Oleh itu, kita perlu membayar harga yang mahal bagi menyemarakkan perpaduan nasional dalam pelbagai aktiviti dan program yang dijalankan. Malah, kita juga tidak lari dari pertelingkahan antara kaum yang kadangkala terjadi, sesuatu yang tidak boleh dipastikan seratus peratus dalam sebuah negara berbilang kaum. Sebaliknya, dengan menyemarakkan perpaduan sejak peringkat awal lagi merupakan satu kelebihan yang harus direbut, kerana kebudayaan, bahasa ibunda dan jatidiri sesuatu kaum tidak akan terhapus hanya kerana mereka telah bercampur dengan pelbagai kaum sejak kecil lagi.

Kerajaan yang mungkin telah menyedari isu ini telah pun cuba untuk melakukan pengubahsuaian terhadap sistem persekolahan yang menyatukan pelbagai kaum. Namun demikian, konsep sekolah wawasan yang menyaksikan perkongsian beberapa premis dalam satu bumbung bukanlah satu langkah bijak! Jika konsep ini berkesan sekalipun, mengapakah tidak ternampak sebarang kemajuan dalam bilangan sekolah yang disatukan ataupun kemajuan program ini terlalu perlahan ataupun telah digugurkan?. Seperkara lagi, jika konsep ini benar-benar ingin dipraktikkan, bagaimana pula dengan premis-premis sekolah yang telah sekian lama wujud, yang berselerak di seluruh pelusuk negara.

Mungkin bagi orang-orang Melayu, isu penyeragaman sistem persekolahan ini mungkin menjadi satu ancaman kepada survivality kaum Melayu yang bergelut dengan meritokrasi dan penguasaan ekonomi oleh kaum lain misalnya, tetapi satu kajian khusus perlulah dijalankan bagi memastikan kepentingan kaum Melayu tidak terjejas, dan kaum-kaum lain pula dapat menyertai bersama-sama ke arah pemantapan perpaduan nasional.

Ahli-ahli politik kaum-kaum bukan Melayu perlulah berhenti daripada terlalu lantang memperjuangkan sistem persekolahan bangsa mereka yang telah sekian lama dipraktikkan, yang sering dijadikan bahan berkempen seterusnya menagih pembiayaan kerajaan terhadap sekolah-sekolah kaum mereka. Sebaliknya tugas baru mereka adalah memastikan ahli-ahli masyarakat dapat menerima sekolah kebangsaan dengan pemansuhan sekolah jenis kebangsaan. Sepatutnya tiada lagi kedengaran alasan-alasan kebudayaan, bahasa ibunda dan sebagainya, kerana sekolah-sekolah kebangsaan sekalipun boleh menawarkan bahasa-bahasa ibunda mereka, manakala kebudayaan dan tradisi bangsa dapat diserapkan melalui aktiviti kokurikulum.

Bagi bangsa Melayu pula, penerimaan terhadap kewujudan kaum-kaum lain dalam satu sistem haruslah diterima dengan hati terbuka. Soal persaingan bukanlah masalah, kerana dewasa ini banyak kejayaan dan pencapaian telah membuktikan bahawa bangsa Melayu lemah dan malas adalah mitos semata-mata. Secara praktikal, sistem ini nampaknya memberi kelebihan kepada kaum-kaum bukan Melayu kerana memberikan mereka peluang bersaing dengan kaum Melayu sejak peringkat awal lagi. Namun bagi kaum Melayu pula, peluang bersaing ini sepatutnya akan meningkatkan keupayaan bangsa untuk terus berjaya dan memacu ekonomi dan sosial tanahair.

Walau sepanjang manapun perbincangan ini, pokok dan akar persoalannya akan kembali kepada bangsa Melayu juga. Seperti yang telah dinyatakan, isu meritokrasi masih lagi menjadi topik bagi sesetengah pihak yang ingin mengembalikan semula sistem kouta atas agenda memastikan jurang ekonomi dan sosial bandar dan luar bandar dapat terus diperbaiki dan isu ini semestinya isu bangsa Melayu! Kaum Melayu yang masih lagi mengejar penguasaaan dalam bidang ekonomi juga perlu mengelakkan persaingan dengan kaum lain kerana persaingan pastinya mewujudkan risiko. Mungkin penyeragaman sistem persekolahan akan mewujudkan persaingan pada peringkat awal, dan jika Kaum Melayu belum benar-benar bersedia, mereka pasti akan tewas sejak awal lagi.

Dengan banyak lagi agenda lain yang perlu diberi perhatian oleh pemimpin-pemimpin kaum Melayu bagi memastikan bangsanya tidak ketinggalan dalam arus perdana pembangunan negara, pemimpin pemimpin kaum lain tidak sepatutnya mengambil kesempatan sebaliknya harus menyedari bahawa kewujudan mereka di dumi Malaysia secara selesa ini adalah atas semangat toleransi orang-orang Melayu terdahulu. Namun tiada siapa yang boleh memastikan, samada Melayu atau bukan Melayu bahawa kita semua sama-sama ikhlas di atas satu landasan ke arah pemantapan perpaduan nasional.

Kepada orang-orang Melayu, inilah harga yang perlu dibayar atas ‘ketoleransian’ nenek moyang kita terdahulu yang menerima kemerdekaan dengan pelbagai syarat penjajah. Bukanlah masanya untuk kita menyalahkan mereka biarpun jika benar mereka telah melakukan kesilapan, tetapi masa telah berlalu dan inilah tugas kita untuk memperbetulkan keadaan. Mungkin nenek moyang kita sudah terlau lama terjajah, dan mereka benar-benar ingin menghadiahkan kemerdekaan kepada generasi kita, dengan dihadiahkan sekali pelbagai tugas berat yang perlu diteliti sebaik mungkin.

Namun, saya percaya kaum Melayu, apabila diberi sedikit tekanan dan tidak sama sekali meletakkan mereka dalam zon selesa, akan mampu bersaing dan membuktikan keunggulan bangsa Melayu. Sama-samalah kita meneliti perkara ini, jangan sampai generasi masa depan akan mempersalahkan kita kelak. Bukanlah tidak berterima kasih atau mengenang jasa-jasa pejuang kemerdekaan dan pemimpin-pemimpin bangsa yang mengabdikan diri mereka terhadap perjuangan bangsa, tetapi bak kata pepatah orang-orang Melayu, Diluah Mati Emak, Ditelan Mati Bapak.

Kita tidak boleh lagi membiarkan masa yang membuat keputusan mengenai nasib perpaduan nasional. Sebaliknya, keberanian dalam kematangan usia kebebasan 50 tahun ini perlulah dijadikan sandaran untuk pengubahan paradigma dan menjanjikan masa depan negara yang lebih manis dengan perpaduan nasional yang benar-benar utuh. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-50. Negaraku Gemilang. Dirgahayu Malaysia.

Singapore Anchorage, MT Bunga Kelana 4, 5.15 pagi, 26-11-2006.

Saya tidak menyatakan sokongan kepada mana-mana konsep termasuklah Bangsa Malaysia, sekadar pendapat untuk pengukuhan perpaduan antara kaum yang telah saya hayati sejak bangku sekolah lagi. Penghargaan kepada rakan-rakan rapat saya semasa sekolah kebangsaan dahulu, 1993-1998. Wee Ern Soon, Maheshwaran A/L Logeshwaran dan Abdul Hafiz bin Sheikh Abdullah. Ketoleransian, persahabatan, dan perpaduan antara kaum seawal usia 7 tahun, sehingga ke hari ini. Persekolahan menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar memberi saya tempoh masa berfikir tentang bangsa dan nusa.

No comments:

Post a Comment